CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Kenangan Terindah (sekiranya tiada paparan gambar, klik continue)

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Assigment 2 : Penulisan Ilmiah (Individu)


KREATIVITI DAN KEMAHIRAN BERFIKIR PELAJAR PINTAR CERDAS
Pendahuluan
            Dewasa ini kanak-kanak sering terdedah lebih awal dengan pelbagai sumber maklumat. Fenomena ini sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka, terutama dikalangan mereka yang dikenali sebagai pelajar pintar cerdas. Pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya lebih dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas (gifted). Pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan.
            Kreativiti dan kemahiran berfikir bagi pelajar pintar cerdas merupakan salah satu potensi yang dimiliki oleh pelajar pintar cerdas. Potensi ini boleh dikembangkan lagi untuk mereka dalam kehidupan seharian. Kreativiti menjadi isu yang penting dalam pendidikan pintar cerdas. Ia merupakan satu ciri yang unik bagi golongan ini. Kreativiti ini mesti disertakan pengetahuan, kemahiran, bakat dan yang lain. Kreatif adalah kata nama bagi suatu bentuk pemikiran yang luar biasa dan perkataan yang menggambarkan perbuatan dan sifat yang berpunca daripada pemikiran yang kreatif.
            Berfikir adalah suatu kemahiran. Otak yang pintar adalah suatu potensi. Oleh itu, pelajar pintar cerdas dan semua pelajar harus diajar bagaimana untuk belajar berfikir dengan lebih berkesan. Pelajar pintar cerdas boleh dididik dan dikembangkan bakatnya kerana mereka mempunyai keupayaan ke arah pemikiran kreatif dan kritis.


Definisi Kreativiti
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kreatif didefinisikan sebagai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Selain itu, daya kreatif adalah kemampuan atau kebolehan mencipta sesuatu kreativiti dan menjana kekreatifan mengikut kemampuan diri sendiri. Manakala kreativiti adalah kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan.
             Menurut McInerney & McInerney (1994) pula, terdapat definisi kreativiti yang menekankan sifat-sifat personaliti, ada yang memberi tumpuan kepada proses pemikiran dan ada juga yang menekankan hasil usaha sebagai kriteria kreativiti.
            Kreativiti adalah proses yang dilakukan oleh seseorang yang menyebabkan ia mencipta sesuatu baginya (Mead, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001). Namun bagi, Guilford (1950), pula menyatakan bahawa kreativiti adalah keupayaan untuk memanipulasi idea dengan lancar, fleksibel, teliti dan asli.
            Ambile (1983) menyatakan bahawa kreativiti mempunyai tiga faktor iaitu pengetahuan, kemahiran kreativiti dan motivasi dalaman dalam menyumbang kepada pengetahuan. Feldhusen (1995) pula menekankan kepada kemahiran metakognitif sebagai aspek kemahiran kreativiti.

Personaliti Kreativiti
            Kreativiti merupakan aset yang sangat berharga yang dimiliki oleh pelajar pintar cerdas. Pelajar pintar cerdas ini boleh mengembangkan idea mereka dengan usaha mereka sendiri. Bermula dengan sebuah idea, mereka berjaya mengembangkannya idea-idea mereka untuk menghasilkan sesuatu yang baru dengan menggunakan kreativiti mereka. Kreativiti mereka ini dinyatakan dalam bentuk kelancaran imaginasi. Pelajar pintar cerdas juga mempunyai sikap ingin tahu yang sangat tinggi dan berminat untuk menerokai idea-idea baru. Fokus mereka adalah lebih menjurus kepada kesempurnaan dalam menyelesaikan tugasan yang diberi. Pemikiran kreatif ini digambarkan melalui kebijaksanaan kanak-kanak mencipta idea-idea baru berdasarkan idea-idea sedia ada.
            Kepintaran dalam suatu kreativiti merupakan sesuatu yang tidak dikembangkan secara formal dikebanyakkan sekolah. Pelajar pintar cerdas yang kreatif mempunyai idea yang unik dan luar biasa. Mereka ini sangat mengambil tahu dan mudah mengambil risiko. Pelajar pintar cerdas yang kreatif ini mempunyai pelbagai pandangan mengenai sesuatu isu dan tidak teragak-agak untuk bertanyakan bagaimana dan mengapa. Mereka juga mempunyai sifat berdikari. Berdikari bermaksud sanggup bekerja berseorangan, memulakan sesuatu dan menghabiskannya atas usaha sendiri. Seseorang yang berdikari suka menyelesaikan sesuatu masalahnya sendiri, lebih-lebih lagi tugasan yang mencabar.
            Kreativiti dalam membantu murid dalam pelbagai penyelesaian masalah. Kreativiti merupakan sebagai sebuah proses, produk atau pun individu yang terhasil dari proses interpersonal dan intrapersonal. Bagi kanak-kanak, kreativiti berfokus kepada proses perkembangan idea.
            Pelajar pintar cerdas juga memiliki keupayaan berfantasi dan berimaginasi. Mereka mempunyai kreativiti dalam mengeluarkan sesuatu idea tentang sesuatu pendekatan yang berbeza dan tidak ragu-ragu untuk bertanya. Guru perlu memainkan peranan untuk memupuk sikap kreativiti mereka di dalam menyelesaikan pelbagai persoalan tersebut. Guru yang bijak dapat merangka kurikulum yang memberi peluang kepada murid-murid untuk mengembangkan kreativiti mereka. Peranan orang dewasa dalam menggalakkan perkembangan nilai kreatif kanak-kanak dapat dilihat dengan menyediakan persekitaran yang baik.
            Walau bagaimanapun, menurut Ambile (1983), motivasi instrinsik merupakan pusat membuat kerja-kerja kreatif. Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran.
Halangan dalam kreativiti
Kanak-kanak dilahirkan dengan potensi untuk menjadi lebih kreatif. Mereka berhak diberi peluang untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka serta menggunakan sepenuhnya potensi mereka. Apatah lagi menariknya, kanak-kanak memiliki rasa ingin tahu yang membuak-buak serta sikap suka belajar mengenai sesuatu yang baru.
            Namun, terdapat halangan-halangan yang boleh menyekat perkembangan kreativiti pelajar. Ibu bapa yang mendesak anak-anak untuk melakukan sesuatu perkara mengikut kehendak mereka akan menyekat kebolehan kreativiti mereka. Kreativiti sememangnya memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam pelbagai cara. Kanak-kanak lebih banyak menggunakan imaginasi, bersedia untuk mencuba perkara yang berlainan dan berani memperlihatkan ekspresi diri dengan berfikiran terbuka. Oleh demikian, sekiranya ibu bapa menekankan realistik, ini akan membantutkan perkembangan kanak-kanak untuk berimaginasi dan berkreativiti. Ini seterusnya akan menghalang kanak-kanak untuk meningkatkan semangat ingin tahu mereka.
            Proses pengajaran guru juga boleh menhalang kreativiti pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat sehala akan menjadikan para pelajar pasif untuk menerima maklumat yang diberikan oleh guru. Kadang kala, sikap guru yang mempunyai pandangan yang negatif terhadap pendapat pelajar akan menghalang pelajar untuk terus berfikir secara kreatif.

Pengajaran dalam kreativiti
Pelajar pintar cerdas adalah satu aset yang bernilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada negara dan masyarakat keseluruhannya. Sekiranya penekanan sebegini tidak diberi perhatian, dikhuatiri potensi dan bakat pelajar pintar cerdas ini akan terbantut dan lambat berkembang.
            Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka cepat berasa jemu dan bosan, seterusnya akan menghilangkan minat belajar. Personaliti terutama watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengjaran yang sesuai. Jika dipupuk bakat yang ada tentu dapat memperkemas dan memantapkan keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka. Oleh itu, guru juga perlu memotivasikan pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan untuk dijadikan asas kepada pemikiran divergen. Selain menggalakkan pelajar berfikir secara fleksibel, guru juga perlu menggalakkan pelajar melakukan penilaian kendiri terhadap idea-idea yang mereka berikan dengan mengemukaan sesuatu isu yang menjurus kearah penyelesaian masalah.
            Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam usaha melahir dan mendidik anak pintar cerdas yang berkreativiti. Ibu bapa perlu mempunyai kemahiran serta keyakinan yang membolehkan mereka mempraktikkan amalan-amalan mendidik anak pintar cerdas. Salah satu kemahiran yang perlu digarap oleh ibu bapa adalah mengisi ruang kasih sayang sekeluarga. Hubungan yang erat, suasana keluarga yang harmoni adalah antara perkara dan keperluan yang perlu wujud dalam memberi sokongan kepada anak-anak pintar cerdas. Selain itu, setiap ibu bapa perlu member peluang untuk mereka berkongsi pengalaman seperti menonton rancangan televisyen terpilih bersama anak-anak dan berbincang sesama mereka.  Aktiviti-aktiviti seperti melawat muzium, pameran dan melibatkan anak-anak dengan aktiviti kreatif yang berkaitan dengan muzik dan lukisan juga dapat meningkatkan kemahiran kreativiti mereka.

KEMAHIRAN BERFIKIR PELAJAR PINTAR CERDAS
            Mendapat anak pintar adalah anugerah tidak ternilai daripada Allah. Tidak semua kanak-kanak dilahirkan pintar. Bagaimanapun, anak-anak boleh diasuh dan dididik menjadi pintar, cerdas dan cerdik sejak awal usia lagi. Pelajar pintar cerdas atau genius sebenarnya boleh dididik dan dikembangkan bakatnya kerana mereka mempunyai keupayaan ke arah pemikiran kreatif dan kritis. Pelajar pintar biasanya tepat dan bijak dalam berbicara, mempunyai ketepatan berfikir dan ketepatan bertindak. Mereka dapat dididik dan membesar dengan sempurna daripada segenap sudut iaitu fizikal dan spiritual.
            Mengimbau sejarah Islam, Luqman al-Hakim adalah seorang tokoh pintar dan seorang ayah penyayang dan bijak dalam mendidik anak-anaknya. Beliau melihat anaknya dengan pandangan penuh kasih sayang. Cara pendidikannya melalui nasihat penuh hikmah, lontaran perbandingan bagi membimbing anak-anak untuk berfikir. Beliau bijak mengatur kata-kata dalam membangunkan kefahaman dan memperkasakan jiwa anak-anaknya.
            Nasihat Luqman mengenai keistimewaan dan kecerdasan akal anak adalah puncak kehormatan dan kedudukan tinggi adalah akal yang cerdas. Orang yang cerdas akalnya, maka akan tertutup semua dosa-dosanya, diperbaiki kesalahan-kesalahannya dan diredai Tuhannya.
Oleh itu, ibu bapa harus mengambil teladan daripada kisah dan sejarah Luqman dalam pendidikan anak-anak. Bagi meningkatkan potensi minda anak-anak, mereka digalakkan mahir berfikir yang merupakan antara potensi minda yang berperanan penting dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
            Kemahiran berfikir di kalangan anak-anak adalah antara potensi minda yang sangat penting untuk melahirkan pelajar pintar. Ia berperanan dalam menentukan kejayaan dalam apa juga bidang diceburi. Berfikir adalah kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir boleh dipelajari dan dipertingkatkan.

Definisi Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir yang sistematik adalah pendidikan memproses minda bagi mencapai sesuatu tujuan.  Berikut adalah definisi-definisi kemahiran berfikir yang diberikan oleh tokoh-tokoh pemikiran mengikut kronologi :
1.         Tokoh pendidik Barat, Dewey (1933), memberikan contoh, iaitu mengaitkan berfikir         dengan perilaku individu. Beliau berpendapat, kepintaran melalui kemahiran berfikir             adalah suatu aktiviti mengawal, menguasai dan menyesuaikan diri pada persekitaran           yang sukar.
2.         Pakar psikologi, Mayer (1977), menyifatkan kemahiran berfikir sebagai kemahiran           pengolahan operasi mental yang merangkumi pengetahuan, pengamatan dan   penghasilan sesuatu. Ia merupakan suatu aktiviti terarah kepada penyelesaian sesuatu            masalah.
3.         George (1970) melihat pemikiran sebagai suatu proses penyelesaian masalah dan            pelakuan semula jadi yang kompleks.
4.         Edward de Bono (1976) pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan pemikiran lateral       yang membawa maksud bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, malahan juga           berfikir untuk melihat sesuatu dengan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah.
5.         Costa (1985) pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan proses penerimaan        rangsangan luar oleh minda melalui deria. Selain itu, berfikir dengan sistematik dapat      menyelesaikan masalah.
6.         Pengolahan proses-proses mental dalam minda dengan tujuan penyelesaian masalah      (Nickerson, 1987).
7.         Presseisen (1987) menyatakan bahawa pemikiran adalah aktiviti mental di mana pengetahuan diperoleh dan diolah melalui penaakulan.
9.         Chaffee (1988) pula, pemikiran merupakan proses luar biasa yang digunakan dalam        proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
10.       Vincent Ryan Ruggiero (1991) pula menyatakan berfikir ialah apa sahaja aktiviti mental   yang membantu untuk memformulasi atau menyelesaikan masalah, membuat         keputusan dan menyempurnakan sesuatu kemahuan untuk memahami sesuatu            (mencari jawapan dan mendapatkan makna).
Walaupun tafsiran berbeza-beza, namun secara amnya tokoh pemikir bersetuju bahawa pemikiran dapat dikaitkan dengan proses menggunakan minda untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Pemikiran Kreatif
Pemikiran kreatif adalah kebolehan individu-individu mengeluarkan idea-idea untuk mencapai sesuatu dan pemikiran kreatif menghasilkan produk-produk yang kreatif. Pelajar pintar cerdas adalah mempunyai sifat-sifat pemikiran kreatif. Mereka juga dikaitkan dengan pemikiran yang asli dan mengeluarkan idea-idea baru.
            Pemikiran kreatif ditakrifkan sebagai pemikiran bercapah (Guilford, 1967), pemikiran fleksibel oleh Perkins (1984), pemikiran lateral oleh Bono (1970). Halpern (1984) pula mentakrifkan pemikiran kreatif sebagai kebolehan membina kombinasi idea-idea bagi memenuhi sesuatu keperluan. Namun, bagi Pellegrino dan Politis (1999) menyatakan bahawa berfikir secara kreatif bermakna kemahuan dan kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkannya ke dalam kotak-kotak tertentu. Ini bermaksud, ia merupakan suatu kaedah berfikir yang mengkehendaki mengenal pasti kaitan-kaitan baru di antara fakta-fakta yang dilihat iaitu menerbitkan idea-idea baru yang menyimpang jauh daripada idea yang sedia ada.
            Pemikiran kreatif melibatkan kebolehan yang berkaitan dengan kefasihan (fluency), kelenturan (flexibility), keaslian (originality) dan penghuraian (elaboration). Pelajar pintar cerdas yang memiliki kemahiran berfikir secara kreatif mempunyai ciri-ciri tersebut. Kefasihan meujuk kepada kebolehan untuk menghasilkan seberapa banyak idea-idea yang boleh dipelbagaikan dan kebolehan melihat berbagai perkaitan dan pola. Kelenturan atau fleksibiliti pula adalah kemahiran berfikir keluar daripada pendekatan yang biasa untuk menyelesaikan masalah dengan menguji andaian-andaian dan memperkembangkan perspektif baru. Pelajar pintar cerdas yang mempunyai ciri ini berkemampuan untuk menjana idea dan penyelesaian masalah yang tidak terbatas kepada satu kaedah sahaja. Ciri keaslian adalah kebolehan menghasilkan idea-idea yang asal yang tidak pernah diperkenalkan. Ia dikaitkan dengan kemampuan berfikir idea-idea baru yang bernas dan unik. Penghuraian adalah keupayaan untuk menerangkan idea-idea secara terperinci.
Abdullah dan Ainon (2001) menyenaraikan lapan ciri pemikiran kreatif iaitu :
  1. menghasilkan idea baru, konsep baru dan tanggapan baru
  2. mengutamakan cara lain dalam melihat sesuatu yang difikirkan
  3. memberi fokus kepada usaha hendak mengubah idea yang ada pada masa ini
  4. mencari cara baru bagi menggantikan penyelesaian yang sedang digunakan sekarang
  5. tidak berpuas hati dengan jawapan yang digunakan sekarang
  6. menghasilkan idea-idea yang dapat memeranjatkan fikiran biasa
  7. menganggap idea yang baik tidak perlu kelihatan logic pada awalnya
  8. menumpukan perhatian kepada kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa akan datang
Daripada senarai di atas dapat dirumuskan bahawa pemikiran kreatif mengutamakan alternatif iaitu cara-cara lain untuk menghasilkan sesuatu dan mengutamakan perubahan.
            Pelajar pintar cerdas yang mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif ialah kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menjana dan menghasilkan idea yang tidak terhad, pelbagai, baru, asli, luar biasa, provokatif, mencabar, mudah ubah, dan dapat dikembangkan kepada idea yang lebih luas dan terbuka. Pemikiran kreatif berfungsi memperluas dan memperkembang daya imaginasi inovasi dan kreativiti untuk mendapatkan idea yang banyak, pelbagai dan baru serta dapat berfikir di luar kotak pemikiran. Contoh pelajar pintar cerdas yang dapat berfikir secara kreatif adalah seperti menjana dan menghasilkan idea yang pelbagai (baru, asli, luar biasa, provokatif, mencabar ), mencipta analogi, mencipta metafora, membuat definisi, membuat hipotesis dan membuat peta konsep .
            Pemikiran kreatif merupakan satu domain yang dapat membantu dalam mengenalpasti pelajar pintar cerdas ini. Pelajar pintar cerdas yang dikatakan mempunyai pemikiran kreatif adalah kanak-kanak yang dapat mempamerkan ciri-ciri seperti berikut :
a)    sangat lancar dan yakin ketika menyatakan serta menjelaskan idea
b)    berkebolehan membuat hubungkait antara dua idea terpencil yang jarang difikirkan oleh orang lain
c)    mempunyai pola pemikiran yang luas dan bersedia untuk meneka da membuat hipotesis
d)    dapat mengekalkan idea sendiri dalam sebarang perbincangan atao kolaborasi dengan orang lain
e)    sering tercabar dengan idea-idea baru
f)     menyukai eksperimen, mencipta kaedah baru dalam penyelesaian sesuatu tugasan
g)    berkebolehan memberikan pelbagai penyelesaian atau respon terhadap sesuatu masalah.
h)    Berkebolehan menunjukkan tahap yang mengkagumkan dalam keasliannya, tumpuan dan ketekunan menghasilkan sesuatu tugasan atau projek yang melibatkan minat dan imaginasi.
Sebenarnya pemikiran yang kreatif dapat dipupuk dan dilatih serta diajar. Oleh itu, kemahiran-kemahiran yang menuju ke arah pemikiran kreatif perlu diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah supaya potensi pelajar untuk berkreatif dapat dikembangkan kepada tahap yang sewajarnya.

Pemikiran Kritis
Kemahiran berfikir secara kritis merupakan kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea berdasarkan alasan dan bukti yang munasabah dan mendorong ke arah pertimbangan yang baik. Ia juga melibatkan penjelasan idea bagi mempertingkatkan pemahaman dan keupayaan untuk menggunakan maklumat dengan berkesan. Selain itu, ia juga melibatkan proses menganalisis dan menilai idea, data atau maklumat untuk kefahaman yang jelas, kukuh dan bermakna.
            Dewey (1933) berpendapat bahawa pemikiran kritis adalah berfikir secara serius (mendalam) dan seterusnya membuat pertimbangan daripadanya. Bloom (1956) menghuraikan pemikiran kritis melibatkan aktiviti mental secara analisis, sintesis dan penilaian. Ennis (1962) pula mentakrifkan pemikiran kritis sebagai pemikiran reflektif yang tertumpu kepada memutuskan sama ada sesuatu kritis menggalakkan individu menganalisis pernyataan-oernyataan dengan berhati-hati, mencari buktiyang sah sebelum membuat kesimpulan. Menurut Nik Aziz (1994), secara kasar pemikiran kritis ialah pemikiran yang meletakkan logik antara gerak hati dengan tindakan. Pemikiran kritis akan menganalisis isu-isu, tetapi berfikir secara holistik dan melihat masalah dari berbagai dimensi. Mereka berusaha menyelesaikan masalah dan bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru. Manakala Jaafar (1995) berpendapat bahawa pemikiran kritis adalah pemikiran secara sistematik, secara universal dan secara radikal adalam menganalisis sesuatu secara mendalam.
            Kebolehan menilai adalah asas kepada pemikiran kritis iaitu menilai idea, bukti cadangan, tindakan dan penyelesaian. Pelajar pintar cerdas yang mempunyai pemikiran kritis ini dapat membuat penilaian sama ada hendak menerima sesuatu alasan itu sebagai munasabah, menggunakan kriteria atau nilai tara yang dipersetujui untuk menilai alasan berkenaan, menggunakan pelbagai strategi penaakulan dalam perlaksanaan kriteria atau standard tersebut dan mencari maklumat yang boleh dipercayai sebagai bukti yang menyokong keputusan dibuat. Walau bagaimanapun, pemikiran kritis ini boleh diajar dan dikembangkan untuk pelajar pintar cerdas dan pelajar-pelajar lain. Tujuan mengajar pemikiran kritis adalah supaya pelajar-pelajar dapat berfikir secara adil, objektif dan sentiasa jelas dan tepat dalam membuat keputusan.            Pelajar pintar cerdas yang mempunyai pemikiran kritis mempunyai ciri-ciri berikut :
a)    berfikiran terbuka
b)    mencari pilihan-pilihan atau alternatif
c)    mengambil kira semua perkara dalam sesuatu situasi
d)    mahir dalam menyatakan sesuatu kenyataan dengan jelas
e)    sentiasa mencari maklumat dengan menggunakan bahan-bahan rujukan
f)     berkemahiran untuk mencari jawapan kepada sesuatu persoalan
            Pemikiran kritis terbahagi kepada dua iaitu pemikiran kritis rendah dan pemikiran kritis tinggi. Pemikiran kritis rendah melibatkan proses kognitif yang sederhana. Dengan menggunakan kemahiran kritis peringkat rendah ini sekadar menerbitkan semula maklumat, data atau pernyataan yang telah sedia ada. Minda hanya memilih, mengasingkan, memastikan perbezaan dan kelainan yang wujud dalam satu-satu kategori atau kumpulan seperti membanding dan membeza, membuat kategori, menerangkan sebab dan membuat bahagian-bahagian kecil.
            Pemikiran kritis tinggi pula melibatkan proses kognitif atau metakognitif. Pemikiran peringkat ini tidak hanya menggunakan kemahiran mikrokritis tetapi ia ditambah dengan kemahiran metakognitif menerusi daya taakulan. Pelajar pintar cerdas berada pada tahap pemikiran kritis tinggi ini. Mereka dapat membuat kemahiran-kemahiran seperti membuat ramalan, membuat inferens, membuat generalisasi, mencari sebab dan membuat kesimpulan, menaakul dan menganalisis.
            Walau bagaimanapun, pemikiran kritis berbeza daripada pemikiran kreatif kerana pemikiran kreatif digunakan untuk menghasilkan idea sementara pemikiran kritis digunakan untuk menilai idea.  Pemikiran kritis bukan suatu disiplin pemikiran yang mengajak pelajar pintar cerdas untuk sentiasa berfikiran negatif sebaliknya ia merupakan proses berfikir untuk menyediakan kesimpulan melalui penilaian yang natural. Pelajar pintar cerdas yang menggunakan pemikiran kritis juga bukan bermaksud menolak pandangan individu namun hanya mencari suatu jalan penyelesaian yang terbaik. Pemikiran kritis juga dapat meningkatkan kreativiti pelajar pintar cerdas untuk mengharungi kehidupan dan pemikiran kritis ini juga menjadi suatu alat untuk berfikir dengan lebih rasional, objektif dan mewujudkan suasana keterbukaan.
            Namun demikian, pelajar tidak atau kurang diajar untuk secara kritis dan mendalam. Menurut Brooks dan Brooks (1993, 2001), mereka percaya bahawa sekolah tidak menggalakkan pelajar berfikir secara mendalam. Oleh itu, pelajar kurang didedahkan dengan penyelesaian masalah yang melibatkan diri dalam pemikiran  kearah penyelesaian masalah.
            Menurut Winn (2004), cara untuk menggalakan pelajar berfikir secara kritis adalah guru memgemukakan topik-topik atau isu-isu yang boleh didebatkan dengan baik. Dalam pemikiran kritis, pelajar yang berdepan dengan isu-isu konflik dapat memotivasikan diri untuk terlibat secara mendalam dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
           
Aplikasi Taksonomi Kognotif Bloom
Benjamin Bloom adalah seorang ahli psikologi pendidikan Amerika yang telah banyak member sumbangan dalam bidang pengajian psikologi pendidikan. Sumbangan utama beliau adalah dalam memperkenalkan teorimpembelajaran penguasaan dan juga taksonomi objektif pendidikan dalam domain kognitif. Bloom telah membahagikan aras kognitif kepada satu urutan atau susunan yang berhieraki. Susunan ini menggambarkan bahawa kognitif adalah berhieraki bermula daripada aras yang rendah dan menuju kepada pencapaian pengetahuan di aras yang tinggi.
Bloom telah mengklasifikasikan aras keupayaan kognitif kepada enam aras iaitu :
a)    pengetahuan
aras kognitif yang terendah yang melibatkan proses mengingat kembali maklumat, fakta, definisi dan sebagainya. Contoh soalan adalah seperti sebutkan rumus luas segiempat.
b)    kefahaman
aras kognitif yang melibatkan proses pengembangan pemikiran iaitu kebolehan untuk memahami sesuatu prinsip. Ia hanya melibatkan penggunaan pengetahuan tanpa situasi baru dan tidak memerlukan atau memperlihatkan implikasi terhadap pengetahuan tersebut. Kefahaman merupakan aras kognitif kedua terendah. Contoh soalan adalah seperti gunakan operasi tambah untuk mencari jawapan bagi 3x 8.
c)    aplikasi
aras kognitif pada peringkat ini adalah pelajar menggunakan pengetahuan dan maklumat serta kefahaman tentang sesuatu pengetahuan yang kemudiannya diaplikasikan dalam situasi yang baru. Biasanya soalan di peringkat ini adalah soalan penyelesaian masalah.
d)    analisis
aras kognitif ini menunjukkan bahawa pelajar boleh mengasingkan idea-idea ke dalam komponen-komponen yang berasingan dan mereka dapat menunjukkan yang mereka memahami hubungan antara komponen tersebut.
e)    sintesis
aras kognitif ini mengkehendaki pelajar menggunakan imaginasi dan pemikiran dengan mencantumkan unsur-unsur yang terdapat pada sesuatu untuk menghasilkan sesuatu yang baru.
f)     penilaian
            Aras kognitif aras ini mengkehendaki pelajar melakukan penilaian, diskriminasi, memberi             rasional dan menyatakan pendapat dengan alasan-alasan tertentu. Contohnya, buktikan    rumus perimeter segiempat tepat ialah 2x (pxl).
Aras kognitif peringkat 1 sehingga peringkat tiga merupakan tahap yang paling asas untuk semua pelajar manakala peringkat yang keempat sehingga peringkat yang keenam adalah tahap untuk pelajar yang mempunyai perkembangan tahap pemikiran yang tinggi seperti pelajar pintar cerdas. Taksonomi ini boleh di aplikasikan kepada mana-mana pelajar dalam apa jua keadaan. Pelajar pintar cerdas mempunyai potensi untuk mencapai aras kebolehan berfikir yang tinggi walaupun mereka bermula dengan pengajaran baru di peringkat lanjutan berbanding dengan pelajar yang mempunyai umur yang sama. Bagi pelajar pintar cerdas, banyak masa perlu untuk meneroka idea, menguji teori, membuat sintesis untuk menghasilkan sesuatu yang baru serta membuat penilaian bagi penyelesaian yang berkualiti.

KESIMPULAN
            Pelajar merupakan elemen terpenting dalam meneruskan perjuangan sesuatu bangsa. Pelajar perlu diberi perhatian dan membesar di dalam persekitaran yang penuh dengan rangsangan akan menjadi lebih cerdas. Pelajar pintar cerdas ini merupakan satu aset yang bernilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada negara dan masyarakat keseluruhannya. Dengan ini, pelbagai usaha perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah agar matlamat ini tercapai dan guru perlulah berusaha untuk mengembangkan kepintaran dan kecerdasan setiap orang pelajar agar potensi diri mereka lebih cemerlang seperti dalam kreativiti dan kemahiran berfikir. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting bagi meningkatkan kreativiti dan kemahiran berfikir anak-anak dengan menyediakan suasana hidup yang harmoni.
            Pelajar pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar, sangat curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap persekitaran serta berupaya untuk menggabungkan beberapa maklumat untuk menghasilkan sesuatu idea. Mereka juga berupaya
melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Pembelajaran yang bersistem dan kemahiran berfikir yang berkesan merupakan cara yang paling berkesan untuk mengembangkan daya pintar cerdas ke tahap yang optimum.


RUJUKAN
Ainon, Abdullah. (2001). Kursus Berfikir untuk Kolej dan Universiti. PTS Publications &     Distributors Sdn. Bhd. KL.

Ainon, Abdullah. (1995). Mengajar Kanak-kanak Berfikir, Utusan Publications and Distributors      Sdn. Bhd., KL.

Ainon, Abdullah. (1998). Kursus berfikir Tinggi. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.,    KL.

Ambile, T. M., (1983). The Social Psychology of Creativity . Springer-Verlag. NY.

Amabile, Teresa. (1989). Growing Up Creative: Nurturing a Lifetime of Creativity. New York:        The Creative Education Foundation

Azlena Zainal, Munir Shuib.(2005). Meningkatkan Potensi Minda. PTS Publications &       Distributors Sdn. Bhd. KL.

Franklin Smutny, J. (2003). Designing and Developing Programs for Gifted Students. California.             Corwin Press Inc.

Joyce VanTassel-Baska . (2004). Creativity as an Elusive Factor in Giftedness. Issue of Update.             College of William and Mary

N.Parke, B. (2003). Discovering Programs for Talent Development. California. Corwin     Press   Inc.

Mohd Azhar Abd. Hamid. (2001). Kritis dan Kreatif. Johor: UTM.

Mohd. Yusof Rahim. (1995). Kemahiran Berfikir: Kaedah dan Strategi Pengajaran. Seminar         Kemahiran Berfikir Peringkat Kebangsaan, UTM-30-31.

Tajularipin & Aminuddin Hassan. (2009). Peranan Minda dalam Kemahiran Berfikir. Universiti       Putra Malaysia.

Tassel-Baska,J. (2007) Excellence In Educating: Gifted & Talented Learners (3rd Edition).           Denver: Love Publishing Company.